Friday, May 21, 2010

sayang anak, tinggal-tinggalkan

Dipegang,ditatap lagi surat daripada jabatan Pelajaran Malaysia itu. Baris-baris kemas dan rapi tulisan dibaca berulang-ulang. Sopan dan rasmi bahasanya. Bertepatan benar.

Tetapi ciri2 yang ada dalam surat itu tidak berjaya untuk menghilangkan resah hatinya. Terpancar tidak diwajahnya, tetapi amat jelas kelihatan pada anak mata Pak Nik Seman, lakinya yang 35 tahun berkongsi katil,bantal. Air liur basi Pak Nik pun sudah puas dihidu.

Pak Nik Seman arif benar dengan bininya yang sorang itu. Kalau tidak tenang hati, pandangnya jauh merewang. Kalaupun berpijak pada bumi, tidak tentu hala. Dahinya berkerut, bertemu ditengah. Mulut yang cekap berceloteh ditarik ketengah, dimuncungkan tajam. Kali pertama Pak Nik Seman melihat riak begitu kira-kira selepas setahun beliau bernikah dengan Mak Nik Jah. Berhari juga bermuncung Mak Nik Jah. Bertanya tidak, bercakap tidak. Bergurau apatah lagi, haram!. Pak Nik Seman bukan tidak sensitif. Dipujuk sudah, ditanya pun sudah. Apa ke halnya, Tijah ku sayang? Digeleng sahaja kepala.Tak kuasa dia bertanya berulang.Biarlah.

Hari ketiga baru dia tahu daripada mulut teman baik si Tijah, Jenab yang Jah dengar dari kampong seberang bahawa kekasih lama Pak Nik sudah kembali ke Kampung Segiling . Setelah 5 tahun ke luar ne geri, pulang semula Limah ke kampungnya. Dikatakan orang petang semalam Pak Nik bertandang ke rumah Limah. Menagih kembali cinta yang dulu tidak kesampaian. Macam orang bujang lagaknya walaupun hakikatnya, Mak Nik Jah setia dirumah, berbadan dua.

Ini yang tidak gemar benar Pak Nik dengan masyarakat kampung. Rata-rata mudah benar mengata. Buruk nasibnya, difitnah terus! Sumpah satu petang semalam dia bersama Ali dan Samad di bilik guru. Berbincang tentang sambutan perayaan Hari Guru. Dia ketua guru disiplin, tugas berat. Sudah sewajarnya dia hadir sama bagi menyumbangkan satu dua idea bernasnya bagi mengawal pelajar-pelajar pada hari perayaan berkenaan. Anak-anak kampung, untuk dijinak tidak mudah.

Diterangkan pada Mak Nik Jah, itu dusta semuanya. Khabar tentang kepulangan bekas buah hatinya dulu hanyalah bersamaan gagak pulang ke ganggang, bangau pulang ke belakang kerbau bagi Pak Nik. Tidak lebih daripada itu. Dia tidak kesitu, sumpah. Tanyalah Samad.Tak percaya, sudah. Giliran Pak Nik pula merajuk. Rasa bersalah barangkali, esoknya sarapan pagi Pak Nik disajikan dengan makanan kegemarannya, pulut panas bersama nyiur muda dan ikan masin. Tak lama rajuk Pak Nik. Senyum semewet ke sekolah pagi itu.

Dan senyum semewet juga dia bila terkenangkan saat itu. Tiap kalinya, termasuk pagi itu. Disinsingkan sikit kain pelihatnya. Cangkul dibiarkan terpacak ditepi bersama tanah yang masih bersisa dimata. Dia bercangkung semula untuk mencabut rumput-rumput kecil meliar. Mak Nik Jah duduk ditangga dikerling juga.

“ Sudah-sudahlah muncung awak tu. Sakit mata saya ni hah.“

“ Sampai hati dia main mohon aja belajar ke Jepun. Bidang masakan pulak. Saya ada Abang Niknya! Kalau kenduri kendara tak ada saya, tak berasaplah dapur, tak bergulailah kawah. Belajar dengan saya, satu rahsia arwah Mek Wok takkan saya pegang. Saya kasitahu semuanya.”

“ Tak sama maknya. Dikejarnya belajar masakan Jepun. Boleh awak mengajarnye? Heh..tak percaya saya. Ingat sebulan balik dari kolumpur dibuatnya bende alah sushi tu. Tak tertelan dek tekak saya. Nak diluah takut merajuk, bulat- bulat saya telan nasi manis, hanyir tu. Awak,lagilah. Lansung ke sinki. ”

“ Saya tak kisah itu Abang Niknye. Tapi..Tapi seorang diri ke luar negara, elokkah? Selamatkah? Tak sesuai benar saya rasa. Di Malaysia tak ada?” Keras lagi hati Mak Nik Jah menerima keputusan bongsunya.

“ Jah, anak kita sudah 3 orang belajar di seberang laut. Itu tak campur anak-anak saudara kesayangan awak tu. Bertalu-talu diucapkan tahniah, ucapan bangga. Tipukah tu, Jah? Tak ikhlas?” Uji Pak Nik.

“ Ikhlas”

“ Dah tu? Jangan dibeza-bezakan anak-anak. Nabi marah, ugama Islam pun marah. Ingat ceramah Ustaz Deraman?”

Angguk perlahan. Masih tidak bertentang mata Pak Nik Seman. Sebal rasanya apabila suami sendiri melintang anginnya.

“ Tapi belum cukup setahun dia graduate dari UIA, kolumpur. Belum puas saya bermanja. Ni, tumit ni. Sejak diurut Tanny barulah lega sikit denyutnye. Makan minum tak risau saya. Ke Kota Lama tak berkejar pulang untuk memasak. Saya senang dia ada, saya takut rindu.” Tumpah jugak air mata dari hujung mata kiri Mak Nik Jah. Dibiarkan jatuh. Lambat-lambat dikesat dengan baju cotton-nya. Dirembeskan hingusnya sekali.

“Ikut rasa sayang, rindu, tak kemana lah kita. Saya rasa dah lama kita tak pentingkan diri sendiri. Hari ini awak mula balik? Kali terakhir masa Kamal nak menikah dengan menantu kita, budak bandar. Kebahagiaan dan kejayaan mereka tak sama dengan kasih sayang ke? Dia pergi tak bermaksud tak sayang. Hal-hal kemudian, siapalah kita mahu menekanya. Kalau sayang, biar dia kejar kegembiraannya. Awak tak sayang?”

“ Sayang!! Maksud awak, saya pentingkan diri sendiri? Sampai hati awak, Nik.” Oh Tuhan!! Kali ini air mata jatuh bersama sendu pula.

“ Lupakan tentang maksud saya. Awak lebih arif tentang maksudnya. O..Patutlah dah tak tunggu saya habis tengok wresling malam Rabu, tak tunggu saya balik tahlil malam-malam. Dia masuk tidur dengan kekasih baru yea sekarang ni” . Dicuba bergurau dengan isterinya yang muram itu sambil berubah posisi mengadapnya. Disengeh pada Mak Jah.

Mak Nik Jah alih pandangan. Hujung lengan diangkat lagi ke hujung mata. Dikesat perlahan.

“ Nikah kahwinnya macam mana? Dia sudah 24 tahun. Baliknya sudah nak masuk 26 tahun. Saya tak rela anak saya membujang ke tua”

“ Kalau kawinlah halnya, saya rasa Anis yang lebih berhak perhatian awak. Lawyer begitu tiada masa berkasih. Dia kakak Tanny, belum lagi berinai,naik pelamin. Tanny tak mahu langkah bendul. Tak mahu katanya di hari berbahagianya ada hati yang sedih dan perit. Pandai Tanny tu. Alangkah baiknya kalau maknya pun berfikiran sepertinya,kan?

Soalan Pak Nik dibiar keawangan tidak berjawab.

“ Sudahlah. Dia mengejar kebahagiannya sebentar saja. Bersyukurlah kita dikurniakan anak soleh, mendengar kata dan setia.Sepatutnya kita buat pemergiannya mudah. Saya tahu, dia sendiri sukar untuk tinggalkan kita. Tinggalkan ibunya yang manja ini. SAya sendiri Nampak dia menangis di tanjung semalam.”

“ Sungguh? Kenapa tidak beritahu?”

“Beritahu apa? Awak dengan rajuk awak aje. Masak pun berlauk telur goreng tambah kicap.haih..kesian” ditarik muka kebawah. Kononnya penuh emosi walaupun hakikatnya cuma lakonan. Mak Nik jah senang benar tertipu.

Mak Nik Jah rasa bersalah. Sepatutnya,aku orang tua, lebih tahu. Lebih matang.

“ Sudahlah tu, kesat air mata murah awak tu. Malu anak-anak tengok.”

“Awaklah, selalu sangat ke kebun. Tinggalkan saya sorang dirumah. Itu pasal saya sunyi”

“ Pulak dah? Malu lah tu. Apa-apahal, Saya nak ke kebun sekejap ni. Dah janji dengan Mat”

“ Tengok, itulah. Tinggalkan saya seorang. Oh, hati..” diletakkan tangan dihati bersama mata dipejam umpama orang frust. Tapi mulutnya senyum juga akhirnya. Saja mengusik suami.

Pak Nik berlalu juga dan menyahut Mak Nik dengan lambaian tangan sahaja.

“Bang Nik!!”

“ Yea!!”

“ Belikan saya ikan patin. Mahu masak kegemaran Tanny”

Dilambai tanda ok.

“Nik!!” Mak Nik Jah panggil lagi. Pak Nik baru keluar pagar. Mak Nik Jah terpaksa bberdiri, berjengkit sedikit kehadapan.

“ Yea!!apa lagi?”

“Terima kasih!!”

Sama-sama. Awak muncung, saya pun tak ada mood,sayang. Boring! Pak Nik menjawab perlahan buat dirinya sendiri saja. Yakin Mak Nik tak dengar pun. Tanda dilambai lagi tanda kasih diterima.


-------------------------------------------------------------------------------------
Anita dengar semua patah perkataan perbualan . semuanya sudah terjawab. Oh, mak!!Panggilan tidak bersahut, tidur tidak berurut, nasi yang tidak habis. Merajuk rupanya. Tak apa mak, lulus saja Tanny disana, Tanny buka Restoran Jepun di kota. 1 jam dari rumah. Tiap-tiap malam kita boleh urut,mak!

No comments:

Post a Comment